Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan (empat kanan) turut mengacau dodol bersama-sama sebahagian belia dan beliawanis yang mengambil bahagian pada program Jom Kacau Dodol dan Lemang anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pandan di Taman Pandan Mewah, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017

AMPANG – Program Jom Kacau Dodol merupakan salah satu cara Pergerakan Puteri UMNO mendekati rakyat sempena bulan Ramadan terutama di kawasan Pandan.

Malam tadi program yang sama melibatkan gabungan kira-kira 300 orang belia bagi proses membuat dodol sebanyak 50 kawah.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, program anjuran pihaknya dan belia Pandan itu  merupakan acara tahunan dan ia sudah kali ketiga diadakan.

Menurutnya,  penganjuran acara yang sama disifatkannya sebagai acara penting bagi merapatkan hubungan penduduk bagi kawasan setempat.

“Acara ini sangat bagus kerana saya rasa acara tradisi ini perlu didedahkan kepada anak muda supaya mereka tahu cara menyediakan dodol,” jelas Zahida selepas merasmikan acara itu malam tadi.

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada program Jom Kacau Dodol dan Lemang anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pandan dilihat sibuk menyiapkan dodol masing-masing pada program tersebut yang berlangsung di Taman Pandan Mewah, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017

Acara itu turut dimeriahkan dengan penyertaan peserta belia berketurunan Cina dan India.

“Penyertaan tahun ini mendapat sambutan luar biasa, tahun lepas cuma 30 kawah dan tahun ini meningkat menjadi 50 kawah. Tahun depan mungkin 100 kawah.,” ujar Zahida.

Menerusi acara itu juga kira-kira 150 batang lemang turut dibakar untuk diagih-agih kepada semua peserta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast