Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata pihaknya menerima panggilan bantuan daripada Pusat Gerakan Operasi Selangor dan segera mengerahkan seramai 14 anggota, tiga jentera serta sebuah bot ke lokasi kejadian pada pukul 7.38 malam.
“Setakat ini hanya 30 orang dapat diselamatkan dan dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pasukan kami bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bangi.
“Paras air meningkat sehingga ke paras pinggang setakat pukul 9.20 malam ini,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Zamani berkata setakat ini operasi masih diteruskan dan pasukan menyelamat sedang menunggu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Hang Tuah bagi memberikan bantuan bot kepada mangsa yang terperangkap.
Katanya tiga bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Cyberjaya dan Puchong juga sedang dihantarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan menyelamat dari balai Pandan dan Ampang juga telah dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.
— BERNAMA