Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Pembangkang didakwa memainkan semula isu berhubung pengumuman baharu oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) kerana mengetahui pilihan raya umum semakin dekat, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata pembangkang mahu menjadikan isu DoJ sebagai modal politik mereka dengan mengitar semula isu tersebut walaupun pelbagai penjelasan sudah diberikan oleh kerajaan.

“Isu DOJ pada hemat saya pernah dibangkitkan pada tahun lalu, tetapi sengaja dikitar semula dengan olahan baru kerana pembangkang berpendapat PRU semakin hampir,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Syed Ali yakin pembangkang tidak akan dapat memperdaya rakyat dengan memainkan semula isu kitar semula tersebut.

“Pada pemerhatian saya sejak beberapa isu ditular pembangkang, rakyat bagaimanapun tidak mudah terpedaya dengan sogokan fitnah tersebut, malah mereka tetap memberikan sokongan kepada kerajaan dan UMNO,” katanya.

Syed Ali menyifatkan isu DoJ yang dimainkan semula itu sekadar kitar semula kerana pembangkang sengaja menidakkan apa sahaja penjelasan yang dibuat oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sepatutnya mereka (pembangkang) terima penjelasan tersebut dengan hati terbuka, bukannya memutarbelitkannya kerana agenda politik sehingga tergamak bersekongkol dengan pihak luar,” tegasnya.

Baru-baru ini, DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast