Beliau berkata ketiadaan kotak hitam itu bertujuan melindungi operasi ketenteraan TUDM dalam menjalani sebarang misi.
“Kebanyakan pesawat TUDM yang sedia ada sebelum ini tidak memiliki kotak hitam dan TUDM mempunyai kaedah tersendiri bagi menentukan punca nahas.
“Apabila berlaku perkara sedemikian (pesawat Hawk 108 terhempas) ia memberi cabaran kepada kami untuk menyiasat kes ini tetapi alhamdulillah TUDM dapat mengumpul bukti awal melalui radar pengesan,” katanya pada sidang akhbar ketika meninjau kawasan nahas pesawat Hawk di Kampung Yak Yah, Chukai di Kemaman, Terengganu di sini.
Ditanya mengenai tempoh mengeluarkan rangka utama pesawat itu, Affendi berkata ia dijangka memerlukan masa dua hingga tiga hari.
Dalam pada itu, Affendi berkata pesawat berkenaan dipercayai menjunam berdasarkan kepada fizikal permukaan lubang tanah nahas pesawat itu yang dalam.
“Buat masa ini TUDM tidak boleh menganggarkan berapa kedalaman tanah yang didalamnya masih terdapat rangka utama pesawat berkenaan.
“Oleh itu, kami memanggil pakar dari Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bagi melihat struktur permukaan tanah nahas itu yang berpaya serta menentukan punca nahas,” katanya.
Affendi berkata pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia sentiasa mengawal rapi selama 24 jam di kawasan nahas bagi mengelakkan diceroboh orang luar serta bahan bukti terjejas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar lokasi nahas pesawat itu mendapati kerja-kerja mencari bahan bukti masih berjalan seperti biasa serta berbau bahan bakar pesawat itu yang kuat.
Tragedi nahas itu mengorbankan dua juruterbang TUDM, Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.
Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada 11 pagi Khamis sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pada 2.30 petang di hutan paya Kampung Yak Yah pada hari sama.
— BERNAMA