JOHOR BAHRU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam kru kapal MT Putri Sea yang hilang semasa kapal tersebut dilaporkan terbakar dan karam 15 Jun yang lalu, ditamatkan pada 7 petang semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, operasi yang dijalankan selama empat hari itu ditamatkan kerana tiada pertunjuk atau tanda berkaitan mangsa yang hilang.
Menurutnya, operasi bagi melawan tumpahan minyak masih diteruskan dengan dikoordinasikan oleh Jabatan Laut Malaysia serta turut di bantu oleh Jabatan Alam Sekitar, Maritim Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.
“Operasi SAR itu juga turut dibantu negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang dikawasan perairan masing-masing tetapi masih tiada penemuan akan mangsa tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat akan diaktifkan semula sekiranya ada laporan akan penemuan mangsa yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, operasi SAR digerakkan pihaknya melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) membabitkan keluasan pencarian hampir 45 batu nautika persegi termasuk mencari disepanjang pantai Pengerang.
Selain pihaknya, Sanifah memberitahu, operasi turut melibatkan pelbagai agensi seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan kekuatan 50 orang pegawai dan anggota.
Tambahnya, semalam, KD Perantau milik Tentera Laut Diraja Malaysia turut membantu mengesan kapal MT Putri Sea dan telah berjaya mengesan kedudukan sebenar kapal tersebut karam. – MalaysiaGazette