KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini untuk mengesan seorang lelaki yang dikhuatiri hanyut dibawa arus deras dalam kejadian banjir kilat di Batu 14, Sungai Hulu Langat petang semalam.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Sani Harul, kawasan carian membabitkan di sungai berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua.
“Operasi mencari dihentikan malam tadi sebaik kita menerima laporan mengenai seorang lelaki yang dikatakan lemas selepas terjatuh bersama motosikal yang ditunggangnya ke sungai itu.
“Ketika kejadian cuaca dilaporkan hujan lebat menyebabkan paras air sungai itu naik mendadak. Mangsa yang ketika itu melalui kawasan berkenaan dipercayai terjatuh ke sungai itu sebelum dibawa arus deras,” katanya.
Semalam tular video yang mengenai seorang lelaki hanyut ketika cuba menyelamatkan motosikalnya.
Mangsa yang dikenali sebagai Taufik Alias, 24, hanyut bersama motosikalnya mengikut pergerakan arus.
Ketika kejadian, orang ramai berusaha untuk menyelamatnya termasuk ada yang menjerit ke arahnya supaya meninggalkan motosikal dan berenang menyelamatkan diri.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi pencarian.
Hujan lebat semalam menyebabkan paras air sungai berkenaan naik mendadak dengan arus deras. Mangsa dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan ketika menunggang motosikal.
Video kejadian yang memaparkan mangsa terkapai-kapai dalam arus deras sungai berkenaan menjadi tular di media sosial.
Selain anggota Bomba dan Penyelamat, kumpulan mencari dan menyelamat juga turut disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Dalam kejadian banjir kilat itu, lebih 100 orang terperangkap di Kampung Sungai Makau, Batu 14, Hulu Langat, Cheras akibat hujan lebat sejak 2 petang. – MalaysiaGazette