Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development Sdn Bhd Datuk Richard Ong (kanan) ketika melihat model pembangunan BBCC pada Majlis Pecah Tanah Bukit Bintang City Centre (BBCC) dan Mitsui Shopping Park Lalaport Kuala Lumpur, di Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan tujuh tahun lalu bakal mewujudkan peluang ekonomi bernilai kira-kira RM1.3 trilion, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara berstatus berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan kepada 3.3 juta orang dengan menarik pelaburan bernilai AS$444 bilion.

Malah, katanya, Bank Dunia turut meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini kepada 4.9 peratus iaitu angka yang menjadi nadi kepada kemajuan ekonomi.

“Kita juga melihat jauh ke hadapan dengan melancarkan Transformasi National 2050 (TN50) untuk merancang masa depan negara.

“Menerusi pelan tindakan ini, kita mahu meletakkan Malaysia antara 20 negara teratas di dunia dalam pembangunan ekonomi.

“Pada masa sama, projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bersama Mitsui Mall yang bakal dibangunkan ini adalah antara keberhasilan pelaksanaan ETP dari segi menarik pelaburan asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah BBCC dan Mitsui Mall di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi UDA Holding Bhd., Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah; Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui Fudosan Co. Limited, Akihiko Funaoka.

Dalam ucapan itu, Najib merakamkan ucapan terima kasih kepada BBCC Development Sdn. Bhd dan MFBBCC Retail Mall Sdn. Bhd. kerana berupaya membangunkan pusat membeli belah Lalaport Kuala Lumpur yang terbesar di negara.

BBCC adalah suatu projek penting dan contoh kepada satu kejayaan dari segi kerjasama awam dengan swasta yang menyatukan sebuah syarikat berkaitan kerajaan iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Bandaraya (UDA) yang merupakan pemilik tanah dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan EcoWorld Group.

Kata Najib, walaupun ibu kota kekurangan tanah, tetapi dengan pengurusan yang bijak dan teliti, ia dapat memberi peluang kepada pihak yang terlibat ini membangunkan sebuah pusat beli belah yang bakal menjadi mercu tanda negara. – MalaysiaGazette