Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
PETALING JAYA – Tiga exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membuat serangan media terhadap kepimpinan parti sebelum ini dikatakan telah ‘menjual’ perjuangan mereka kepada UMNO.

Menurut Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman, perkara itu berlaku akibat desakan hidup yang dialami oleh ketiga-tiga exco tersebut.

“Sedia maklum sebelum ini dah ada pemimpin Armada yang jual maruah diri, mungkin ada contact dengan Raja Petra. Tiba-tiba lepas ni akan kata betul Saddiq ada maklumkan, sedangkan ketiga-tiga ini yang paling bermasalah untuk hadir mesyuarat dan sebagainya.

“Tiga exco Armada ini banyak kali tidak hadir, panggilan telefon tak jawab. Banyak juga diberi peluang secara terbuka dan tertutup untuk bertanya kepada pimpinan berkenaan serangan mereka terhadap parti.

“Sumber UMNO kata, mereka telah dibeli, skrip sama buat sidang akhbar TV3 saja yang hadir, main isu tersebut setiap hari berganti tiga orang.

“Walaupun mereka buat begitu, pada saya mereka tetap kawan saya, saya tahu keperitan hidup mereka terutama dari segi kewangan. Tapi maaflah memang dalam PPBM kita tidak bagi elaun, semua guna duit sendiri,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut Saddiq, pihak Armada tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka buat masa ini, sebaliknya menunggu proses lembaga disiplin parti.

Tiga exco Armada, Hafiz Azhar, Taufiq Abbas dan Abdul Wahazir Abdul Wahabi sebelum ini membuat serangan terhadap kepimpinan tertinggi PPBM, menggesa supaya mendedahkan kekayaan peribadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast