Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Tumpahan minyak kapal Putri Sea yang karam ekoran enjinnya meletup pada Khamis lalu menghampiri kawasan projek Pembangunan Integrasi Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang Johor.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RAPID telah menggerakkan tindakbalas Peringkat 1 dengan menggerakkan peralatan kawalan dan kakitangan untuk menangani masalah tumpahan minyak itu.

Katanya, tumpahan itu dikesan melalui pemantauan udara dan laut yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia, Pasukan Gerakan Udara Polis DiRaja Malaysia.

“Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi yang berkenaan akan meneruskan kerja-kerja pemantauan tumpahan minyak dan mengambil langkah-langkah kawalan bagi menangani kejadian ini,’ katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kementerian itu menerusi JAS telah menerima maklumat kejadian tersebut daripada Sistem Pengerusan Trafik Kapal (VTMS) Lembaga Pelabuhan Johor pada pukul 7.05 pagi 15 Jun lalu.

Menurutnya, kapal itu karam di kawasan perairan Malaysia 4.6 batu nautika dari Tanjung Setapa, Pengerang, Johor.

Bertindak atas maklumat itu, Wan Junaidi berkata, pihaknya telah melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan enam orang kru kapal warga Indonesia yang dipercayai hilang semasa kejadian.

 

“Hasil pemantauan bersama agensi-agensi yang terlibat mengesahkan bahawa kejadian tersebut benar-benar berlaku dan siasatan peringkat awal mendapati jalur minyak sepanjang 1 kilometer di permukaan laut.

“Setakat 17 Jun lalu tiada sebarang minyak dikesan di kawasan pantai berhampiran tempat kejadian namun maklumat terbaharu pada 18 Jun lalu mengesahkan tumpahan minyak sudah menghampiri kawasan projek RAPID dan langkah pencegahan telahpun dilaksanakan serta merta,” katanya.

Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan pemantauan darat untuk mengesan sebarang tumpahan minyak di pantai. – MalaysiaGazette