Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim (tengah) beramah mesra bersama penduduk sekitar Petaling Jaya pada Program Jualan Diskaun Datuk Mutalif di Taman Medan, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 22 JUN 2017

PETALING JAYA – Penduduk di kawasan Taman Medan hari ini menikmati potongan 30 peratus bagi pembelian lima jenis produk barangan keperluan harian untuk kegunaan Hari Raya Aidilfitri.

Diskaun lima jenis barangan itu dibuat oleh UMNO Bahagian Taman Medan di tapak pasar pagi Jalan PJS 2D/8 di sini.

Ketua Koordinator Pembangunan Persekutuan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, jualan dengan diskaun itu diberikan kepada penduduk di kawasan berkenaan yang rata-rata berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, ia merupakan satu aktiviti yang julung-julung kali diadakan sebagai langkah mengurangkan beban ekonomi ditanggung oleh golongan sasaran sempena perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.

“Antara barang-barang keperluan yang diberikan diskaun seperti beras berjenama Faiza Emas, minyak masak paket, gula, tepung gandum dan telur.

“Walaupun program bermula pada pukul 9 pagi tetapi orang ramai telah mula berkumpul sejak jam 7 pagi lagi untuk membeli barang keperluan mereka,” katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan ketika ditemui pada program berkenaan.

Tambah beliau, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan selepas ini jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula negeri Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Untuk tiga hari bermula hari ini kita telah susun pelbagai program dan esok kita akan beri petrol percuma kepada penunggang motosikal bawah 150cc di Petronas Taman Medan di sini,” ujarnya.

Bahri Pilus

Sementara itu, seorang penduduk Bahri Pilus, 65, berkata, aktiviti seperti itu wajar dilakukan selalu kerana dapat meringkan beban pengguna terutama warga emas sepertinya.

“Saya ni dah tak larat lagi bekerja. Pendapatan pun mengharapkan daripada pemberian anak-anak sahaja.

“Kalau ada macam ni (diskaun) bolehlah jimat sikit wang yang anak-anak beri dan boleh dibuat belanja untuk kegunaan lain.

Ronisa Shaamir

Ronisa Shaamir, 47, pula berkata, aktiviti jualan diskaun yang dibuat oleh UMNO kawasan tersebut sememangnya tepat pada masanya.

Ini berikutan katanya, hari raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi memyebabkan golongan ibu-ibu berkehendakkan barangan dapur untuk persiapan.

“Baguslah ada buat jualan macam ini. Harga barang sekarang pun dah mahal. Jadi bolehlah jimatkan belanja kami,” ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.

Roshayati Taha

Bagi Roshayati Taha, 54, pula, dia berterima kasih kepada BN kawasan Taman Medan yang prihatin dan peka terhadap masalah ekonomi yang dihadapi golongan berpendapatan rendah di kawasan itu.

Katanya, sejak berpuluh tahun tinggal di Taman Medan inilah kali pertama dia bertemu dengan aktiviti jualan seumpama itu.

“Kalau membeli di pasar raya pun tidak mungkin akan dapat harga serendah ini.

“Harap aktiviti ini tidaklah hanya hari ini sahaja dan kalau boleh biarlah ia sentiasa ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast