KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengugut akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika Kerajaan Pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dalam isu perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri, Datuk Iskandar A. Samad berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah memberikan PR1MA dan PPA1M keistimewaan yang sama seperti Rumah Selangorku.
“Keistimewaan yang kita berikan kepada PR1MA dan PPAiM ialah peningkatan kepadatan sehingga 120 unit kediaman seekar, berbanding kepadatan pembangunan biasa antara 30 hingga 70 unit kediaman seekar.
“Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu perumahan, tetapi mereka mengambil sikap berkonfrontasi dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Iskandar mengingatkan Kerajaan Pusat supaya ‘gentlemen’, bukan mengambil melakukan kekerasan seperti ‘lanun’ apabila mengambil alih PPR itu dari kerajaan negeri.
Beliau dilaporkan berkata, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya menghormati tuntutan kerajaan negeri sebanyak RM60 juta seperti dinyatakan sebelum ini.
Menurut Iskandar, kerajaan negeri mahu sentimen politik diketepikan dalam isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan, tetapi Kerajaan Pusat terutama Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar dilihat lebih suka bermain politik.
“Kerajaan Pusat kelihatan lebih berminat untuk menyerang kerajaan negeri dari menyelesaikan masalah rakyat.
“Untuk PPR itu, Kerajaan Pusat telah bertegas untuk mengambil alih pembangunan itu dan enggan melayan tuntutan kos kerajaan negeri membaikpulih dan menyelenggara yang telah dibelanjakan.
“Justeru, cadangan pembatalan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sehingga keputusan dibuat semua permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M akan dibekukan,” katanya.
Kata beliau, tindakan itu bukan bertujuan menghalang PR1MA atau PPA1M dari melaksanakan projek di Selangor, sebaliknya dialu-alu untuk membina rumah di negeri itu.
Bagaimanapun, ujar beliau, Kerajaan Pusat perlu mematuhi syarat seperti yang digariskan dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.
“Hanya Rumah Selangor diberikan keistimewaan untuk meningkatkan kepadatan pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.