Antara 161 individu disyaki mengedar dadah sedang diburu polis untuk menyelesaikan kes dadah.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan senarai sebanyak 161 individu yang sangat dikehendaki polis dalam kes pengedaran dadah di negara ini.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Datuk Kang Chez Chiang berkata kesemua individu berkenaan kini sedang diburu pihaknya.

“Kesemua individu berkenaan sedang disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah Pencegahan Khas).

“Mana-mana pihak yang mempunyai mengenai lokasi kedudukan kesemua suspek berkenaan disarankan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Jabatan Narkotik di setiap negeri serta merta untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chez Chiang, polis akan menggunakan segala usaha untuk membendung masalah dadah di negara ini.

“Jabatan kami bekerjasama rapat dengan media organisasi bukan kerajaan dan pemimpin komuniti untuk menyedarkan masyarakat dalam mencantas sindiket dadah dari akar umbi lagi,” katanya.

Justeru, katanya, PDRM sedar usaha dan tindakan pembanterasan dadah perlu menjadi agenda utama negara dan terus dilipatgandakan usaha dari semasa ke semasa dengan mempelbagaikan pendekatan dan inisiatif baharu.

“Ini kerana trend ancamannya bersifat progresif selaku poenguatkuasaan dan peneraju utama dalam pembanterasan jenayah sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Kenyataan beliau menyusul ekoran kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd. Shariff yang menyatakan jabatannya telah mengambil langkah tegas terhadap sindiket pengedar dadah di seluruh negara.

“Kami sedar akan bahawa beberapa orang daripada individu berkenaan telah berjaya terbang melarikan diri ke luar negara bagi mengelak penangkapan.

“Mereka boleh lari dari polis, tetapi kami akan cekup mereka secepat mungkin,” tegasnya lagi.⁠⁠⁠⁠ – MalaysiaGazette