ABU DHABI – Tutup rangkaian berita Al Jazeera – Itu antara 13 tuntutan empat negara Arab ke atas Qatar yang mesti dipenuhi dalam tempoh 10 hari, lapor Rueters memetik pegawai daripada salah sebuah negara terlibat.
Tuntutan pelbagai perkara yang diserahkan oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir itu dilihat memburukkan lagi krisis negara-negara Teluk yang telah berlangsung sejak beberapa dekad
Tuntutan itu dilaporkan termasuk:
– Menutup rangkaian media Al Jazeera termasuk sekutu-sekutunya.
– Menghentikan pembangunan pangkalan tentera Turki di Qatar.
– Mengurangkan hubungan diplomatik dengan Iran
– Menghentikan hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan keganasan.
– Berhenti campur tangan dalam hal ehwal empat negara yang berkenaan.
– Menghentikan amalan memberi kerakyatan kepada penduduk di empat negara itu.
Al Jazeera dalam reaksinya berkata, sebarang gesaan untuk menutup stesen televisyen itu merupakan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara di rantau itu.
Negara-negara Arab memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun lalu, menuduh Doha menyokong keganasan dan mewujudkan ketidakstabilan di rantau itu.
Empat negara yang terlibat berkata, senarai tuntutan menjadi tidak sah jika Qatar gagal mematuhinya dalam tempoh 10 hari.
Permintaan agensi berita CNN untuk mendapatkan reaksi pegawai-pegawai Qatar gagal, bagaimanapun mereka memberitahu akan mengeluarkan kenyataan kemudian.
Isnin lalu, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata, negaranya hanya akan memulakan rundingan untuk menamatkan krisis selepas beberapa tindakan yang diputuskan terhadap negara itu ditarik balik.
“Kami tidak menjangkakan untuk menamatkan krisisĀ ini, jalan penyelesaian belum lagi dirangka dan negara-negara yang memusuhi Qatar tidak menyatakan secara jelas mengapa tindakan-tindakan tersebut diambil,” katanya.
Keempat-empat negara Arab itu menggesa Qatar supaya menghentikan hubungan dengan Muslim Brotherhood, ISIS, al Qaeda, Hezbollah dan Jabhat Fateh al Sham.
Qatar yang berkongsi sempadan dengan Arab Saudi menolak tuduhan negaranya menyokong keganasan sambil menyifatkan dakwaan tersebut adalah tidak adil dan tidak berasas.
Pegawai kanan UAE menuduh Qatar membocorkan senarai tuntutan dalam cubaan untuk memperlekehkan usaha proses damai dan mewujudkan kestabilan serantau.
“Tindakan (membocorkan tuntutan) akan memburukan dan memanjangkan krisis Qatar,” kata Menteri Luar, Anwar Gargash menerusi Twitter.
Senarai tuntutan itu diserahkan oleh Kuwait, yang berperanan sebagai orang tengah dalam krisis tersebut selepas dua minggu sembilan negara diketuai oleh Arab Saudi membekukan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar.
Menurut Reuters, turut disenaraikan adalah tuntutan supaya Qatar membayar pampasan kepada empat negara sebagai ganti rugi kerosakan atau kos yang terpaksa ditanggung ekoran dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Doha. – Agensi