BAGHDAD – Salah seorang daripada leftenan tertinggi yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera di bawah Saddam Hussein dijangka diangkat sebagai ketua Islamic State (IS) sekiranya pemimpin mereka, Abu Bakr al-Baghdadi sah meninggal dunia.
Pakar kumpulan Islamis melihat tiada pengganti yang jelas namun Iyad al-Obaidi dan Ayad al-Jumaili mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin IS walaupun kedua-keduanya tidak mungkin layak mengambil alih gelaran “khalifah” yang dipegang oleh Baghdadi.
Menteri Pertahanan Rusia minggu lepas berkata, Baghdadi mungkin telah terbunuh dalam serangan udara di Syria dan agensi berita Interfax yang memetik seorang ahli Parlimen kanan Rusia berkata, kemungkinan pemimpin IS itu terbunuh adalah hampir 100 peratus.
Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan yang sedang berperang di rantau berkenaan skeptikal dengan laporan berkenaan.
“Kami tidak mempunyai sebarang bukti konkrit sama ada beliau betul-betul telah meninggal atau tidak,” kata jurucakap bagi pakatan membenteras IS Kolonel Tentera Amerika Syarikat, Ryan Dillon semasa taklimat kepada Pentagon.
Obadi, 59, ketika ini berkhidmat sebagai menteri perang manakala Jumaili, lewat 40-an, adalah ketua agensi keselamatan Amniya.- MalaysiaGazette