KAJANG – Belajar lain, kerjayanya pula lain.
Itu yang terjadi pada Syazana Azmi, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Cardiff, United Kingdom apabila memilih untuk membuka butik vendor sendiri.
Minatnya untuk berniaga secara konvensional timbul apabila beliau pada mulanya mencari asas dengan menjual tudung secara online selepas tamat belajar.
Katanya, banyak ilmu diperoleh menerusi perniagaan online yang dilakukannya sebelum ini hingga menyebabkan dia beriltizam untuk berniaga dengan lebih serius.
“Keluarga saya banyak memberi sokongan dan galakan untuk saya membuka perniagaan yang lebih sempurna dan mereka turut membantu saya untuk membuka premis sendiri.
“Alhamdulillah, saya kini berjaya membuka butik yang diidam-idamkan dan mengendalikannya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada majlis perasmian butik Gondola31 di sini, baru-baru ini.
Menurut Syazana, dia meneruskan legasi keluarganya apabila membuka satu lagi cawangan butik vendor di Kajang.
Katanya, butik pertama yang dimiliki keluarganya dibuka di Ipoh namun, disebabkan permintaan pelanggan tetapnya yang datang dari Lembah klang telah menyebabkan mereka berinspirasi untuk membuka cawangan di sini.
Ditanya mengenai nama butik vendor itu, Syazana memberitahu, Gondola31 merupakan nama yang sinonim dengan dirinya yang baru bertatih dalam dunia perniagaan.
“Gondola itu sampan, jadi maksudnya ibarat saya yang masih baru dalam bidang ini berdayung perlahan-lahan untuk sampai ke puncak.
“Maklumlah, nak buka perniagaan sendiri bukannya senang. Banyak rintangan dan cabaran yang perlu ditempoh. Apa-apa pun kena bertabahlah,” ujarnya yang merupakan pengurus butik berkenaan.
Tambahnya, antara produk yang terdapat dibutiknya adalah seperti Calit by Mawi, Uniquien by Mawi dan Ekin, Suci by Yatt Hamzah, Lisa Adam, de Sophea Boutique, Jananh Noe, Red Audra, By Bainny, BMO, Shawl Publika, Naelofar Hijab Pin dan banyak lagi.
Katanya lagi, selain label tempatan pengunjung Gondola31 juga berpeluang memiliki fesyen Aleza Label Jakarta yang diterbangkan terus dari negara jiran.
Dengan menampilkan konsep kedai menggunakan palet kayu sebagai signatur, ia secara tidak langsung menyuntik `mood’ selesa kepada pengunjung yang datang untuk memilih apa yang dimahukan, Jelasnya. MalaysiaGazette
bisnes, Gondola31, Kajang