Mustapha Othman

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengajak umat Islam di negara ini memelihara hati agar terus mengasihi sesama agama dan menjauhkan diri dari pergeseran serta perbalahan yang tidak berkesudahan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, mereka perlu mencari titik persamaan agar ummah terus gemilang.

Katanya, pelbagai cabaran terkini dan realiti yang perlu dihadapi oleh umat Islam dari segenap segi serta dimensi.

“Banyak lagi usaha dan tenaga perlu dicurahkan kepada masyarakat bagi melahirkan Malaysia sebagai negara aman dan Islam pula sebagai agama serta kehidupan yang harmoni bersama kaum dan agama lain.

“Sebagai agensi pusat dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kami menyeru umat Islam di negara ini dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan diterjemahkan bermula Syawal hari ini.

“Seterusnya pada bulan mendatang untuk kita sama-sama membersihkan hati, mencari persamaan dan berlapang dada dengan perbezaan agar kita dapat bergerak membina masa hadapan yang cemerlang.

“Alhamdulillah, dengan hidayah dan rahmat-Nya, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah Ramadan tahun ini. Kini tiba masanya untuk kita melaungkan takbir kemenangan dan kesyukuran ke hadrat Ilahi,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri kepada media di sini, semalam.

Menurut Mustapha, kesan puasa Ramadan seharusnya menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera serta cintakan perdamaian.

Jiwa dan hati seperti inilah kata beliau, bakal membentuk dan menjadikan umat Islam memiliki  kesatuan yang teguh.

Katanya, jiwa yang tenang dan damai akan cenderung mencari penyelesaian dengan tidak mendahulukan emosi berbanding akal.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini, saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kita dapat menyambutnnya dengan penuh keceriaan dan mengambil kesempatan beramah mesra dengan sanak saudara serta bermaaf-maafan sesama kita.

“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1438H kepada semua warga Jakim khususnya dan juga kepada seluruh umat Islam umumnya beserta harapan semoga kita memiliki jiwa yang bahagia agar ummah sejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast