PUTRAJAYA -Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri kali ini agak istimewa kerana menyaksikan kebanjiran ramai rakyat Malaysia di Seri Perdana hari ini.
Katanya, pada jangkaan beliau kehadiran orang ramai ke majlis melebihi tahun-tahun sebelumnya kerana terbentuk barisan panjang sehingga ke jalan utama luar kompleks berkenaan.
“Tahun-tahun terdahulu, ramai pengunjung terdiri daripada warga asing, tetapi kali ini pengunjung kebanyakannya terdiri daripada warga tempatan berbilang kaum.
” Bukan sahaja mereka datang dari Putrajaya dan kawasan sekitar sahaja, malahan ada juga datang sekeluarga jauh iaitu dari Taiping, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
“Ini memperlihatkan mereka ingin bertemu dan bersalam dengan perdana menteri walaupun saya berdiri begitu lama dengan PM tetapi saya dapat lihat satu kelegaan pada muka setiap orang ketika bersalam sehingga puas hati,” katanya kepada pemberita di majlis yang bermula sejak pukul 10 pagi tadi.
Selain perdana menteri dan Ahmad Zahid, para anggota Jemaah Menteri lain yang turut hadir merakamkan ucapan dan berjabat tangan dengan orang ramai ialah Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan isteri; Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohammad Nazri Abdul Aziz; dan timbalannya Datuk Mas Ermieyati; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri; serta bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.
Menyentuh mengenai kawalan keselamatan, Ahmad Zahid menyifatkan semuanya dalam keadaan terjamin dan anggota keselamatan bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman.
“Kawalan keselamatan sudah terjamin berikutan beberapa kejadian letupan berlaku di Marawi, Filipina dan Bangkok dan terbaharu di Mekah.
“Oleh sebab itu kawalan keselamatan sudah dipertingkatkan khsusunya pada musim sambuta 1 Syawal ini mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku di negara ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette