Beijing – China melancarkan apa yang dipanggil kapal perang terkini dan terbesar di Asia pada Rabu, sekaligus melonjakkan kedudukannya dalam armada laut moden hari ini, demikian menurut akhbar rasmi ketenteraan.
Menurut pakar ketenteraan, kapal pemusnah dengan peluru berpandu pertama jenis Type 055 itu direka untuk menempatkan pesawat pengangkut bagi kumpulan perang pada masa hadapan.
Kapal pemusnah itu dibina di limbungan Jiangnan di Shanghai dan dilengkapi dengan sistem pertahanan udara, anti peluru berpandu, anti senjata kapal dan kapal selam, lapor akhbar PLA Daily.
Pelancaran kapal perang tersebut merupakan langkah penting di dalam memastikan impian China untuk memiliki armada laut moden dan kuat tercapai, kata salah seorang ahli Suruhanjaya Ketenteraan Pusat yang menjaga peralatan ketenteraan, Jeneral Zhang Youxia semasa majlis perasmian tersebut.
Menurut para penganalisis, Type 055 secara teorinya adalah pemusnah kedua paling berkuasa di dunia selepas DDG-1000 milik tentera laut Amerika Syarikat.
Keupayaan Type 055 dengan 12,000 tan mengatasi DDG-991 milik Korea Selatan dan kelas Atago milik Jepun.
“Dari segi beberapa perkara seperti saiz, sistem radar, kapasiti peluru berpandu dan kegunaan pelbagai fungsi, Type 055 lebih baik atau sekurang-kurangnya sama aras dengan pemusnah utama Amerika Syarikat,” kata pakar dalam ketenteraan laut yang berpangkalan di Beijing, Li Jie. – MalaysiaGazette