Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad. foto SAFWAN MANSOR, 19 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menyangkal dakwaan terbaru saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat secara terbuka berhubung tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan perlu membuktikan sebaliknya jika dakwaan DoJ tidak berasas kerana Amerika cuba melindungi kepentingan mereka dan bukan untuk mencampuri urusan negara ini.
“Tindakan DoJ adalah menurut mereka sendiri, untuk melindungi keselamatan dan integriti sistem kewangan Amerika daripada segala penyalahgunaan.
“Ini termasuklah kleptokrat yang hendak menyimpan kekayaan diperoleh secara haram atau pencurian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dua minggu lalu, DoJ memfailkan saman sivil ketiga berkaitan 1MDB dan mendakwa dana diselewengkan berjumlah AS$4.5 bilion dan mereka dalam proses merampas aset AS$1.7 bilion yang didakwa dicuri dari 1MDB.
Dalam pemfailan terbaru, DoJ juga menyenaraikan 28 barangan kemas lain, yang didakwa dibeli untuk isteri MO1, termasuk rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi juga berkata, mana-mana pihak boleh campur tangan dalam saman sivil DoJ itu sekiranya individu yang dinamakan itu tidak mempunyai kaitan.
“Jika ada sesiapa yang merasakan mereka tidak sepatutnya didakwa di dalam dokumen DoJ, mereka sepatutnya boleh sahaja campur tangan di dalam proses mahkamah untuk memadamkan nama mereka daripada dokumen mahkamah tersebut,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa Malaysia juga sewajarnya mengikut langkah para selebriti terkemuka dunia yang memulangkan semula aset yang didakwa dibeli menggunakan dana dicuri dari 1MDB.
“Leonardo DiCaprio dan Miranda Kerr sudah memulangkan hadiah yang diberikan oleh Jho Low, di mana disebut namanya di dalam saman DoJ bersama anak isteri Perdana Menteri, Riza Aziz.
“Para selebriti ini telah lakukan apa yang patut untuk membersihkan nama daripada skandal 1MDB, mungkin juga wajar untuk pihak berkuasa kita menuruti langkah ini dan bekerjasama dengan pihak AS tanpa menetapkan syarat,” ujarnya.
Tambahnya, DoJ bukan sahaja menyiasat isu 1MDB Malaysia sahaja bahkan banyak lagi negara sedang diambil tindakan tegas yang melibatkan kepentingan Amerika.
“Negara lain seperti Singapura, Luxembourg, Switzerland, Hong Kong dan Australia juga ada mengambil tindakan tegas.
“Rakyat mahukan jawapan dan kebenaran, pada masa ini kami langsung tidak dapat apa-apa daripada pihak kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast