KUALA LUMPUR – Strategi Pakatan Harapan (PH) mahu mencalonkan bekas naib presidennya, Datuk Husam Musa sebagai calon menteri besar (MB) tidak akan mengoyahkan usaha Pas untuk mempertahankan Kelantan kekal diperintah parti Islam tersebut.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sedikit pun tidak terkesan dengan cadangan PH itu sebaliknya mengatakan mana-mana parti yang bertanding perlu menang pilihan raya terlebih dahulu sebelum sibuk memikirkan siapa yang layak menjadi MB.
“Pastikan menang dahulu dan apabila menang, sesiapa pun boleh jadi Menteri Besar,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dipetik semasa menghadiri program Majlis Hari Raya di kediaman Ahli Parlimen Bachok, Marzuk Shaary di Gunong, hari ini.
Beliau berkata, selepas parti tersebut menang, barulah boleh melantik siapa MB ketika itu.
“Yang penting, pastikan menang dahulu dan Pas tidak campur tangan dia (parti itu) nak pilih siapa Menteri Besar kerana itu adalah hak parti yang menang,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyuarakan dalam ucapan di Majlis Sambutan Aidilfitri PAN (Parti Amanah Negara) dengan menjangkakan Pakatan Harapan akan menamakan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa sebagai calon MB Kelantan sekiranya tampuk kerusi di negeri ini bertukar tangan dalam PRU 14 nanti.
Husam yang dianggap pilihan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, adalah naib presiden Pas ketika parti Islam itu memecatnya atas dakwaan melanggar disiplin dan tatatertib parti pada Mei 2016.
Ketika itu, Husam lantang mengkritik kepimpinan PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya di Kelantan. – MalaysiaGazette