KOTA BHARU – Pendekatan yang digunakan oleh Pas pada masa sekarang tidak sesuai dengan Islam, kata Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Malah beliau mendakwa perjuangan partinya dahulu itu sudah tersasar sehingga menyebabkan rakyat semakin menjauhkan diri.
Katanya, disebabkan itu Pas sudah tidak diperlukan lagi di negara ini dan akan terus tenggelam tanpa arah tuju.
“PAN sedia mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan pada pilihan raya akan datang memandangkan Pas sudah tidak diperlukan lagi di negara ini.
“Pas sudah tersasar daripada dasar perjuangannya, malah cara pendekatan mereka sudah tidak sesuai dengan Islam kerana sering bergaduh dengan rakyat dan Orang Asli.
“Jadi rakyat memerlukan PAN bagi mengambil alih pentadbiran Kelantan berikutan pentadbiran negeri itu sudah rosak dan parah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAN di sini semalam. – MalaysiaGazette