KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka memulakan dagangan minggu pertama separuh kedua tahun ini dengan catatan kukuh.

Bursa dijangka melantun semula daripada penurunannya baru-baru ini berikutan jangkaan peningkatan permintaan apabila para pelabur kembali semula ke pasaran selepas bercuti panjang sempena perayaan Aidilfitri.

Ketua Penyelidikan, Bahagian Pengurusan Pelaburan Etiqa Insurance & Takaful, Chris Eng berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak di atas paras sokongan 1,767 minggu depan.

“Minat belian dijangka bersambung semula apabila para pelabur kembali daripada percutian mereka,” katanya.

Bursa Malaysia dan pasaran derivatifnya ditutup pada 26 dan 27 Jun, 2017 sempena cuti Hari Raya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 15.78 mata kepada 1,763.67, dipengaruhi terutamanya oleh prestasi di Wall Street serta pergerakan harga minyak.

Bagi minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, jumlah dagangan turun kepada 4.29 bilion unit bernilai RM5.72 bilion daripada 8.37 bilion unit bernilai RM9.82 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.98 bilion saham bernilai RM5.46 bilion daripada 5.34 bilion saham bernilai RM9.36 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette