JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menahan dua lelaki yang merupakan orang dikehendaki polis (Wanted Person) kerana disyaki aktif melakukan samun di sekitar Seri Alam dalam dua serbuan berasingan di pusat hiburan di sini awal pagi ini.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas yang dijalankan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor bermula 1 pagi ini di kawasan Iskandar Malaysia.
Ketua JSJ negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi Ops Cantas itu juga, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes culik dan ugutan jenayah dilaporkan baru-baru ini.
Tambahnya, selain suspek kes culik berusia 26 dan 29 tahun itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM69,750 bersama sejumlah barang kemas serta sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Kedua tangkapan melibatkan kes culik itu akan disiasat di bawak Seksyen 3 Akta Culik. Mangsa culik dalam kes tersebut juga selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, beliau berkata, polis turut menjalankan Ops Noda melibatkan pemeriksaan beberapa pusat hiburan dan hasilnya, tiga lelaki berusia antara 30 hingga 33 tahun ditahan kerana menjalankan operasi melebihi had masa ditetapkan.
Menurutnya, penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit dibuat di bawah Enakmen Hiburan Negeri Johor.
“Kita turut menahan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 32 tahun kerana didapati positif ujian saringan awal air kencing dan menerusi Ops Noda itu juga, polis turut memeriksa 87 lelaki dan 32 wanita berusia antara 22 hingga 48 tahun,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, Ops Cantas dan Ops Noda itu dijalankan menerusi Ops Lebaran bermula 1 pagi ini melibatkan 15 pegawai dan 90 anggota JSJ Johor di kawasan Iskandar Malaysia bertujuan membanteras, mengekang serta melumpuhkan antaranya kegiatan jenayah kekerasan, jenayah jalanan dan jenayah bersindiket.
“Polis Johor akan terus membuat serbuan, pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan untuk membanteras dan membendung semua gejala tidak sihat yang mengganggu gugat ketenteraman awam negeri Johor khasnya dan menyakitkan mata hati masyarakat amnya,” katanya. – MalaysiaGazette.