Keadaan malam terakhir pendaftaran kad sementara E-Kad oleh pekerja asing di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017.

PUTRAJAYA – Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali membidas majikan yang lewat mendaftarkan pekerja mereka untuk mendapatkan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) kerana sikap sambil lewa mereka.

Mustafar berkata majikan tidak wajar menyalahkan Jabatan Imigresen yang tidak melanjutkan tempoh permohonan memandangkan tempoh sudah lama diberikan sejak 15 Februari lalu tetapi masih ada majikan yang degil tidak berbuat demikian.

“Saya sudah ulang beratus kali kepada majikan untuk mendaftarkan segera pekerja mereka tetapi masih ada antara mereka yang degil tidak berbuat demikian.

“Ada majikan yang ingat Imigresen akan lanjutkan tempoh dan mereka bersikap sambil lewa serta ambil mudah dengan tidak mendaftarkan pekerja mereka sehingga lah tergesa-gesa datang baharu nak buat hari ini,” kata Mustafar semasa sidang media di pejabat Imigresen malam tadi.

Setakat jam 11 malam tadi, ribuan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang masih menunggu giliran mereka untuk mendaftarkan E-Kad dan pegawai Imigresen bekerja keras bagi memastikan pendaftaran sempat dilakukan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bercakap pada sidang media selepas selesai operasi pertama Imigresen menahan pekerja asing yang gagal mendaftar kad sementara E-Kad di Kapar Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017.

Bagaimanapun, Mustafar berkata sasaran yang diletak tidak tercapai memandangkan hanya 145 ribu sahaja E-Kad yang dikeluarkan setakat malam tadi walhal mereka mensasarkan sekurang-kurangnya 400 ribu ke 600 ribu PATI yang memiliki E-Kad.

“Setakat jam 11 malam ini, 145 E-Kad dikeluarkan kepada PATI, tapi jumlah ini kita masih anggap tidak mencapai sasaran kerana kita mensasarkan sekitar 400 ke 600 ribu yang mendaftar.

“Tidak ada lagi amaran dan mulai hari ini kita akan buat gerak gempur memburu PATI yang tidak mendaftar E-Kad ini,” katanya lagi.

Mustafar berkata majikan tidak ada pilihan lain dan perlu berdepan pengadilan jika didapati bersalah gagal mendaftarkan pekerja mereka.

“Kita tidak ada pilihan lain, majikan perlu salahkan diri mereka sendiri jika berdepan muka pengadilan.

“Kita boleh ambil tindakan terhadap majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka, sama ada proses wang haram, beku akaun atau aset mereka,” ujarnya.

Isu PATI amat penting untuk ditangani kerana ia melibatkan imej kedaulatan negara dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya dibiarkan bebas bergerak secara haram atas muka bumi negara, kata Mustafar.

“Soal PATI ini melibatkan imej kedaulatan dan kesejahteraan negara,” katanya lagi.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.

Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette