Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengotakan janji untuk memberi royalti petroleum kepada Kelantan.
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membidas campur tangan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mereka tidak wajar dijadikan sebagai rujukan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata rakyat Malaysia tidak boleh menjadikan dakwaan DoJ sebagai rujukan kerana isu-isu berkaitan 1MDB sepatutnya ditangani oleh pihak berkuasa di Malaysia dan bukannya pihak luar yang tidak mempunyai kepentingan untuk negara,

“Kita tak akan jadikan DOJ sebagai rujukan kerana kita sendiri sudah ada kepakaran untuk menyiasat dan kita yakin isu 1MDB ini boleh disesuaikan dengan cara pembentukan suruhanjaya bebas, malah penubuhan itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk pembangkang dan suara rakyat sendiri,” kata Mohamad Nik Abduh yang dipetik berkata semasa ditemui media di Kota Bharu hari ini.

Tegas beliau lagi, rakyat Malaysia sepatutnya tidak terpengaruh dengan sebarang campur tangan negara asing seperti yang dilakukan oleh DoJ ketika ini terhadap kerajaan Malaysia.

“Jabatan Kehakiman (DOJ) berhak untuk melakukan siasatan ke atas siapa yang dia mahu yang melibatkan negara masing-masing termasuk isu 1MDB, tetapi kita rakyat Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa campur tangan dengan negara asing.

“1MDB ini bukan payah untuk difahami kerana rakyat sudah tahu ia adalah satu perniagaan yang dianggap melibatkan riba dan harta rakyat sebagai jaminan dalam perniagaan itu, malah banyak tadbir urus yang salah, juga ada campur tangan terutama politik,” katanya.

Pandangan Nik Mohamad Abduh juga selari dengan seorang lagi ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali yang berkata paritnya tidak mahu terikut-ikut atau dipengaruhi pihak asing dan Pakatan Harapan kini musuh Pas.

“Pas ada cara kita sendiri, kita tidak bersama Barisan Nasional (BN) dan kita tidak bersama Pakatan Harapan. Kita bawa cara kita dan kita bertindak tidak mengikut cara orang melibatkan isu 1MDB,” katanya.

Sebaliknya, Khairuddin berkata Pas menolak “campur tangan pihak luar” dan mendesak penyiasatan peringkat tempatan seperti suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat 1MDB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast