Andy Yong

KUALA LUMPUR – Langkah pembangkang mahu mengadakan himpunan jalanan pada September ini disifatkan Pemuda Gerakan sebagai ketandusan idea selepas gagal dalam usaha mereka menghasut rakyat berhubung isu 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB) dan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong membidas pembangkang kini sudah tidak ada lagi modal politik untuk menyerang kerajaan dan langkah memainkan isu 1MDB dan DoJ hanya satu-satunya jalan yang mereka miliki untuk mempengaruhi rakyat membenci kerajaan.

“Pembangkang kini sudah ketandusan idea dari segi politik, memandangkan selama ini PM sudah pun dari segi ekonomi dan kestabilan negara telah membawa kemajuan dengan jelas

“Justeru mereka rasa satu-satu isu yang boleh membawa momentum menghadapi pilihan raya umum adalah isu 1MDB dan DoJ, betul tidak betul lain cerita,” kata Yong semasa ditanya mengenai rancangan pembangkang tersebut.

Menurut Yong, himpunan jalanan menjadi strategi pembangkang setiap kali mahu menghadapi pilihan raya umum dan langkah tersebut bertujuan mewujudkan momentum tidak berasas dengan menjadikan 1MDB dan DoJ sebagai isu utama serangan mereka.

“Saya rasa himpunan ini salah satu strategi mereka, mereka mahu create momentum, sejak dari dulu mereka konsisten dalam isu ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Yong berkata parti komponen dalam Barisan Nasional perlu memainkan peranan utama dalam menjelaskan isu berkaitan 1MDB dan DoJ bagi mengelakkan rakyat daripada terus terkeliru dengan permainan politik jahat pembangkang.

“Sebab itu tanggungjawab kami sebagai parti komponen memberi kesedaran dan mendidik pengundi bukan Melayu yang selama ini dipengaruhi mereka.

“Kami mahu mereka fahami bahawa bukan semua yang diperkatakan Pakatan Harapan adalah malaikat, bukan semua betul, jadi pengundi dan rakyat kena faham dan tidak semua dari BN adalah syaitan,” katanya lagi.

Gabungan pembangkang, Pakatan Harapan menyuarakan hasrat untuk menganjurkan ‘Himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ kononnya reaksi pembangkang kepada saman sivil DoJ baru-baru ini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast