Sohaimi Shahadan
SUNGAI BULOH – Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dicabar mendedahkan dalang sebenar yang ‘mengarahkan’ badan perundangan itu untuk mengambil tindakan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan terbaru DoJ itu dilihat bemotifkan politik susulan kekurangan isu semasa untuk meraih simpati rakyat.
“Mereka (pembangkang) sudah kehabisan isu, kerana kita sudah tahu dan saya minta pihak AS untuk mendedahkan siapa sebenarnya di belakang isu DoJ ini yang beriya-iya mengambil tindakan saman sivil dan sebagainya.
“Rakyat Malaysia perlu tahu kerana ini sudah tentu ada motif politik yang keterlaluan dan terdesak apabila kekurangan isu semasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan mencuba sendiri membuat aiskrim goyang pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Moccis, Sungai Buloh. foto NIzam Zain
Dua minggu lalu, DoJ memfailkan saman sivil ketiga berkaitan 1MDB dan mendakwa dana diselewengkan berjumlah AS$4.5 bilion dan mereka dalam proses merampas aset AS$1.7 bilion yang didakwa dicuri dari 1MDB.
Dalam pemfailan terbaru, DoJ juga menyenaraikan 28 barangan kemas lain, yang didakwa dibeli untuk isteri MO1, termasuk rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta.
Sohaimi juga berkata, pembangkang kini ketandusan isu dan mengitar semula isu lama untuk mengelirukan rakyat.
“Bila Kabinet buat keputusan untuk tubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja tentang Forex yang kita tahu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, nampaknya pembangkang cuba alihkan isu dengan memainkan isu DoJ.
“Tindakan pembangkang itu sangat memualkan,” tegasnya.
Sementara itu, katanya juga, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO hingga ke peringkat akar Umbi perlu menggunakan kaedah menyerang pembangkang dan tidak lagi bertahan atau mempertahankan parti semata-mata.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan bersalaman danberamah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Moccis, Sungai Buloh. foto NIzam Zain
“Selagi mana kita bertahan, selagi itu mereka keluarkan isu-isu fitnah dan tidak benar berterusan untuk menyerang.
“Ahli-ahli UMNO di akar umbi tidak boleh lagi guna kaedah lama bersemuka atau berceramah. Bila nak menghadapi pilihan raya ini, kita tak mahu pemikiran rakyat disogokkan dengan isu tidak betul akhirnya membuat rakyat keliru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast