Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah memantau segala bentuk ancaman yang berkaitan keselamatan siber di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata MKN, yang dianggotai agensi-agensi dari pelbagai kementerian, diberi tanggungjawab itu memandangkan ancaman serangan siber seperti Ransomware Wannacry, yang melanda dunia baru-baru ini, berkait rapat dengan keselamatan negara.

“MKN sudah pun membuat kenyataan berhubung hal ini (serangan Ransomware Wannacry)…kita tidak menerima apa-apa laporan yang ia berlaku di Malaysia.

“Kerajaan ambil maklum ancaman seperti ini dan kita harus pertahankan negara kita dalam soal keselamatan siber,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Likas malam tadi.

Kira-kira 10,000 tetamu termasuk orang kenamaan dan rakyat pelbagai kaum dan agama menghadiri majlis itu.

Salleh berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi kerjasama sepenuhnya kepada MKN untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Beliau berkata selain negara mempunyai terknologi terkini bagi menangani sebarang masalah berkaitan ancaman siber, para pengguna dunia siber juga perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan serangan seperti itu dapat dihalang.

“Kadang-kadang kita dapat pertahankan (keselamatan siber kita) tetapi selepas itu ada pula terknologi baharu yang muncul. Jadi, antara fokus kita dalam menghadapi ancaman seperti ini ialah menambah baik (teknologi yang kita ada) dari semasa ke semasa,”katanya.

Menurutnya kerajaan juga menjalinkan kerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha menangkis ancaman siber.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast