KUALA LUMPUR – Presiden Pas tidak pernah menyokong apatah lagi mempertahankan salah urus tadbir isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sebagaimana persepsi buruk yang digambarkan media massa kebelakangan ini, kata Setiausaha Akhbarnya, Abdul Malik Ab. Razak.
Sebaliknya, kata beliau, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak sekian lama sentiasa melawan kezaliman sama ada dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahupun parti yang sama sifatnya.
Bahkan, menurutnya, perlawanan antara dua musuh tradisi itu dalam sejarah pilihan raya hanya sekali sahaja menunjukkan rekod Pas tidak menentang UMNO kerana sama-sama berada dalam BN pada 1972.
“Selebihnya sebanyak 12 kali pilihan raya umum (PRU), Pas berlawan di kerusi ditandingi UMNO termasuk PRU14 akan datang.
“Malah Abdul Hadi tidak pernah menjadi ahli UMNO, sedangkan sebahagian pimpinan parti pembangkang lain adalah bekas pimpinan dan ahli UMNO.
“Suka saya jelaskan kekeliruan yang dimainkan media massa agar yang gelap dicerahkan, yang cerah tersebar serata alam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Menurut Abdul Malik, sejak isu 1MDB menggegarkan panggung politik tanah air, Presiden Pas mengikuti secara dekat dan memandang jauh sama ada tersurat atau tersirat di sebalik respon serta tindakan kerajaan atau pembangkang.
Katanya, dua tahun lalu, Abdul Hadi telah memberi respon dan mendesak kerajaan membentangkan hasil bedah siasatan kepada Ahli Parlimen dan menyatakan kekecewaannya kerana gagal memulihkan kepercayaan rakyat, selain menggesa mengemukakan penyelesaian yang berkesan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri harus menjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan hendaklah membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB.
“Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini.
“Langkah sumbang Tabung Haji dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran Jabatan Audit Negara selama ini. Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah anak syarikat Tabung Haji di mana selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka,” katanyna.
Katanya, Pas juga kecewa apabila kerajaan hingga ke hari ini gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung segala isu yang membelenggu 1MDB, termasuk penyelesaian segera terhadapnya.
“Sebaliknya, UMNO dan BN lebih condong menyelamatkan kroni, sedangkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan menderita dengan tindakan baru kerajaan mengenakan GST kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin dan kaya,” katanya. – MalaysiaGazette