Agensi Anti Dadah Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Seramai 13 pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dalam Ops Terminal yang dijalankan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak 18 Jun lepas sehingga semalam.

Jumlah tersebut merupakan antara 2,989 pemandu bas yang diperiksa di 28 terminal bas utama seluruh negara hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Zainudin Abdullah berkata,  empat orang ditahan di Kedah, tiga di Perak dan dua di Selangor dan Sabah, serta masing-masing satu di Perlis dan Pulau Pinang.

“Angka tersebut menunjukkan peningkatan dengan enam kes dilaporkan pada tahun 2015 manakala lima kes bagi tahun 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Zainudin berkata, syarikat kenderaan komersial disarankan untuk sentiasa memastikan pemandu mereka bebas daripada dadah dengan melaksanakan ujian air kencing secara berkala.

“Pemandu bas juga boleh dirujuk ke mana-mana klinik swasta atau pusat kesihatan untuk menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata operasi bersepadu antara pelbagai agensi perlu diteruskan bagi menyedarkan pemandu pengangkutan awam agar tidak menggaji pekerja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Ini sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di musim perayaan dan menyelamatkan banyak nyawa yang tidak berdosa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast