KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membantah tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membenarkan pengambilan Pegawai Perubatan UD41 secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan dengan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, kelonggaran kepada semua Siswazah Perubatan itu bertentangan dengan Fasal 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Kata beliau, setiap pengambilan mesti mengikut syarat dan prosedur JPA yang standard bagi semua penjawat perkhidmatan awam dan tidak ada sebab perkhidmatan perubatan diberi kekecualian serta kelonggaran itu.
“Kita memandang perkara ini dengan penuh prihatin kerana kesannya sangat besar. Ini akan meminggirkan kepentingan bahasa Melayu, sedangkan itulah satu-satunya prinsip yang masih ada dalam agenda pembentukan negara bangsa.
“Jika ini dibenarkan nescaya akan lebih banyak pihak atau sektor perkhidmatan lain menuntut kelonggaran yang sama,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semalam, yang dilaporkan mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi SPM untuk lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.
Kata Dr. Noor Hisham, kelonggaran itu akan membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.
Menurut Dr. Mohamad Saleeh, sepatutnya semua warganegara memiliki kelulusan BM kerana itulah sahaja unsur yang memanifestasikan ciri identiti dan syarat kewarganegaraan.
“Jika subjek yang kritikal dalam bidang perubatan mampu dikuasai oleh mereka, kenapa pula subjek Bahasa Malaysia tidak mampu dikuasai.
“Adakah golongan tersebut memang tidak menghormati bahasa kebangsaan? Kami secara terang-terangan menentang keras sebarang kelonggaran atas asas kaum,” katanya.
PENA turut menuntut JPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melakukan keadilan dan mematuhi syarat pelantikan yang sama bagi semua sektor perkhidmatan. – MalaysiaGazette