KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa umat Islam di negara ini memboikot rangkaian kafe kopi antarabangsa, Starbucks berikutan pengakuan Pengerusinya, Howard Schultz mendokong perkahwinan sejenis, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pendirian prokumpulan gay itu bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan berkhilaf dengan perlembagaan Persekutuan serta Rukunegara.
Katanya, amalan LGBT tidak pernah mendapat pengiktirafan umat Islam di negara ini dan juga di dunia.
“Tidak pernah ada satu pun fatwa membenarkan amalan LGBT ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, seorang pemimpin organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia menyeru rakyat negara itu memboikot Starbucks kerana menyokong homoseksual, yang nyata merosakkan teras agama dan budaya negara Asia Tenggara.
Kecuali di Aceh, homoseksual dibenarkan di Indonesia, tetapi serangan ke atas komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender telah meningkat di negara itu.
Anwar Abbas, dari organisasi Muhammadiyah yang mempunyai 30 juta ahli dilaporkan berkata, kerajaan negara itu patut membatalkan lesen Starbucks kerana syarikat berkenaan menyokong komuniti LGBT yang tidak selari dengan ideologi Indonesia.
Menurut Dr. Amini Amir, perlakuan homoseksual dan lesbian adalah jenayah syariah serta berdosa besar dalam Islam.
Ujar beliau, umat dan kaum Nabi Lut telah menerima musibah dan sumpahan daripada Allah kerana mengamalkan homoseksualisme.
“Sebarang gerakan LGBT dalam negara ini sepatutnya dibatalkan dan diharamkan kerana bertentangan dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa memberi amaran keras kepada pengamal, penyokong dan pendokong amalan LGBT dalam negara ini agar segera bertaubat meninggalkan amalan terkutuk itu dan kembali ke pangkal jalan.
Dr. Amini Amir turut menggesa kerajaan menilai semula lesen perniagaan dan operasi syarikat mempromosi perkahwinan sejenis (LGBT) termasuk Microsoft. – MalaysiaGazette