KUALA LUMPUR – Penggunaan pesawat rasmi kerajaan tidak menjadi kesalahan dan pembangkang disifatkan berniat jahat kerana sengaja membuat tuduhan tidak berasas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa pembangkang cuba menimbulkan kebencian orang ramai dengan memainkan isu penggunaan pesawat udara milik kerajaan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk bercuti ke Bali, Indonesia dan Perth, Australia.
“Ini semua agenda politik kotor pihak tertentu termasuk portal berita pro-pembangkang, yang dilihat seperti sengaja memainkan isu tersebut untuk menarik perhatian rakyat,” kata Syed Ali dalam satu kenyataan.
Syed Ali berkata, isu tersebut tidak perlu dipersoalkan memandangkan Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dibolehkan menggunakan pesawat rasmi kerajaan sama ada untuk tugas rasmi atau pun bercuti bersama keluarga.
“Jadi kenapa bila Najib bercuti bersama keluarga dengan menggunakan kemudahan pesawat kerajaan, ianya menjadi pertikaian banyak pihak terutama pembangkang, sedangkan perkara tersebut bukan sesuatu yang dilarang,” ujarnya.
Jelasnya, penggunaan pesawat udara milik kerajaan dibolehkan kepada seseorang Perdana Menteri dengan mendapat kelulusan Kabinet.
Perdana Menteri bersama keluarga bercuti di Bali sehingga 30 Jun ini sebelum dijadual berlepas untuk menyambung percutian mereka di Perth.
Bagi Syed Ali, seseorang individu berhak mendapat rehat atau percutian terutama bersama keluarga kerana ruang tersebut mereka boleh melupakan sebarang tekanan atau pun kesibukan semasa bekerja.
“Masa percutian itulah mereka berpeluang bersama keluarga, mengeratkan hubungan silaturahim setelah penat bekerja dan inilah juga fitrah manusia yang memelrlukan masa rehat,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, adalah amat wajar untuk Perdana Menetri mengambil peluang dan ruang untuk bercuti bersama keluarga setelah dibeban dengan tugas dan tanggungajawab untuk mentadbir negara.
“Najib adalah manusia biasa seperti kita, memerlukan waktu rehat dan mempunyai kewajipan untuk bersama keluarga, jadi tidak ada keperluan mana-mana pihak mempertikaikan percutian beliau,” tegasnya. – MalaysiaGazette