BOSTON – Seramai 10 orang telah dibawa ke hospital dengan pelbagai kecederaan selepas sebuah teksi merempuh orang ramai di Lapangan Terbang Logan, Boston, kata polis.
Mereka yang cedera merupakan pemandu-pemandu teksi yang berada di tempat menunggu di perhentian teksi di Porter Street di Tomahawk Drive.
Menurut polis, seorang mangsa cedera parah, tiga lagi kurang parah manakala bakinya mengalami cedera ringan.
Dua mangsa yang parah itu telah dikejarkan ke Hospital Massachusetts.
Pemandu teksi yang terlibat dalam kemalangan itu dikenali sebagai Lutant Clenord, 56, adalah pekerja dengan Metro Cab.
Beliau mendakwa kemalangan itu berlaku kerana teksinya mengalami masalah teknikal.
Clenord berkata, sepanjang 23 tahun memandu teksi, beliau tidak pernah terlibat dalam kemalangan seumpama itu.
Katanya, nahas itu berlaku ketika teksinya dihalakan ke kawasan hentian itu dan tiba-tiba teksi itu laju dan breknya tidak berfungsi.
Polis negeri berkata, punca nahas itu sedang disiasat dan siasatan itu akan menentukan sama ada pertuduhan dibenarkan dibuat ke atas Clenord. – MalaysiaGazette