Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – Pengikut tegar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikenali juga sebagai geng ‘kartel’ didakwa memulakan langkah untuk menggulingkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Geng ‘kartel’ ini juga merupakan dalang sama semasa gerakan menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bagi membolehkan Azmin menduduki takhta kuasa di negeri tersebut.

Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin mendakwa didatangi seorang pemimpin yang rapat dengan Dr. Wan Azizah meminta bantuannya untuk menyelamatkan Presiden PKR itu daripada dipaksa melepaskan jawatannya.

“Rupanya dia nak minta saya terlibat selamatkan Wan Azizah dengan halang move kartel,” dakwa Badrul Hisham menerusi laman Facebook beliau.

Badrul Hisham atau dikenali dengan gelaran Chegubard berkata, kumpulan pengikut Azmin itu mahu pemilihan parti dijalankan lebih awal bagi memberi laluan merampas jawatan yang disandang oleh Dr Wan Azizah.

“Geng kartel katanya nak push (desak) supaya pemilihan parti dibuat sebelum PRU kerana masa terbaik paksa Wan Azizah jadi penasihat dan Azmin jadi Presiden,” ujarnya.

Dakwa Badrul Hisham, dua pemimpin PKR yang menyokong langkah untuk mengadakan pemilihan tersebut adalah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

“Seperti biasa Azmin akan dilihat bersih .. nama Sivarasa dan Tian (Chua) disebut sebagai antara yang kuat push pemilihan parti,” katanya.

Jika langkah kumpulan ini berjaya, Badrul Hisham berkata, Azmin akan memenangi pemilihan parti memandangkan kuasa dan pengaruh yang kuat dimilikinya dalam parti.

“Saya berani jamin Azmin akan menang mudah jika lawan Wan Azizah sebagai Presiden sebab Azmin dengan duitnya akan kuasai Jawatankuasa Pemilihan seperti pemilihan lalu.

“Cara paling bermaruah Wan Azizah tak bertanding dan beri laluan pada Azmin,” katanya.

Pada 2014, Azmin pada awalnya didakwa mahu mencabar Dr Wan Azizah bagi jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti, bagaimanapun ia berjaya dihalang Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin kemudiaan hanya bertanding bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dan memenanginya dengan menewaskan dua calon lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast