BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan penyakit Rabies atau anjing gila yang dilaporkan di Serian, Sarawak minggu lalu merebak dari Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Kalimantan yang terletak bersempadan dengan Serian sebelum ini mencatatkan sembilan kes serangan anjing gila yang boleh merebak melalui pelbagai cara.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan mengambil langkah pencegahan dan kawalan ketat bagi memastikan penyakit tersebut tidak terus merebak dan menjadi wabak.
“Sebelum ini dalam kes Rabies di negeri ini termasuk di Balik Pulau, wabak itu merebak dari Perlis, sebab itu kita tidak menolak kemungkinan kes terbaharu yang dilaporkan di Serian berpunca dari Kalimantan ,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Sempena Kejohanan Sukan SEA Ke-29 dan Para ASEAN Kesembilan di Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa, Balik Pulau, di sini hari ini.
Khamis lalu, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan mengesahkan menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak berhubung tiga kanak-kanak berusia empat, enam dan tujuh tahun yang positif virus Rabies di Serian.
Mengulas perkembangan tiga kanak-kanak mangsa Rabies itu, Hilmi memberitahu, kesemua mereka kini masih menerima pemantauan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kes jangkitan itu ketika ini adalah terkawal dan tiada lagi jangkitan baharu dilaporkan sekali gus menggesa orang ramai khususnya penduduk di sekitar Serian tidak panik dengan perkembangan tersebut. – MalaysiaGazette