Home Nasional PDRM umum kenaikan pangkat, pertukaran pegawai kanan

PDRM umum kenaikan pangkat, pertukaran pegawai kanan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 46 pegawai kanannya, berkuat kuasa 7 Ogos depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, SAC Datin Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu antara lain melibatkan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang akan menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Bukit Aman.

Tempat beliau akan digantikan Datuk Abdul Ghafar Rajab yang kini memegang jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pula akan bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman dengan pangkat yang sama.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd akan menggantikan Mohmad sebagai Pengarah JSJ, manakala tempat Wan Ahmad Najmuddin akan diambil alih Setiausaha PDRM, Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor akan bertukar ke Selangor sebagai Ketua Polis negeri dan tempat beliau digantikan Timbalan Pengarah KDN/KA (Kepolisan Am) DCP Datuk Amer Awal.

Tempat Amer akan diambil alih Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Abd Aziz Yusof, manakala jawatan Abd Aziz akan diambil alih Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC Datuk Kamarul Zaman Mamat akan mengambil alih jawatan yang kini disandang Mohd Dzuraidi, dengan memangku pangkat DCP.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP Datuk Mohd Zakaria Ahmad akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ, Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman DCP Datuk Noor Azam Jamaludin akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan, dan digantikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Risikan/Operasi) Bukit Aman SAC Datuk Azhar Hamzah, yang akan memangku pangkat DCP.

Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang SAC Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah akan ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Databank DNA/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman, dengan memangku pangkat DCP.

Jawatan Raja Shahrom akan diambil alih Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan dengan memangku pangkat SAC, manakala jawatan Othman digantikan Supt. Urusetia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) Supt Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dengan memangku pangkat ACP.

Menurut kenyataan itu, pertukaran turut melibatkan beberapa jawatan antaranya di kontinjen serta daerah di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Sabah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast