Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas hari ini seolah-olah menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mendakwa banyak kes besar sejak pada zamannya menjadi Perdana Menteri tidak ada penyelesaian sampai sekarang.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kesemua kes-kes lama itu ditinggalkan tanpa penyelesaian bahkan dilupakan.

“Ramai yang tertanya-tanya seolah-olah saya tidak berminat untuk membuat perubahan kerana 1MDB.

“Apabila banyak pihak menjadikan isu ini senjata besar untuk melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

“Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku di setiap zaman Perdana Menteri bermula sejak tahun 80-an.

“Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menegaskan, al-Quran menegaskan kepada perubahan sikap, perangai atau akhlak bukannya mengubah tokoh atau orang-orangnya sahaja.

“Kalau hanya sekadar mengubah orangnya sahaja sedangkan perangainya sama, maka perubahannya juga membawa rebah yang sama,” ujarnya.

Menurutnya, 1MDB adalah mata rantai masalah yang belum diselesaikan secara adil dan menjadi salah satu daripada mata-mata rantai isu yang tiada penyelesaian.

“Dahulunya BMF, PERWAJA, KWSP, PETRONAS, Tabung Haji, pertukaran wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ.

“Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang tersebut tetap tidak bersetuju tindakan ‘menjemput’ campur tangan asing terhadap penyelesaian 1MDB kerana ia bakal mengundang lebih banyak keburukan.

“Langkahnya laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah.

Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya,” tegas beliau.

Justeru, katanya, Pas tidak boleh menjadi gerabak kereta api yang disangkut kepada kepala yang menuju ke arah yang salah sekadar membawa perubahan pemimpin yang berkonsep ‘2 x 2’ atau ‘2 + 2’ di mana jawapannya sama.

“Pas tidak boleh mengikut sunnah mereka yang melahirkan saudara-saudara 1MDB dan saudara maranya yang akan lahir selepas ini kerana sunnah yang sama acuannya.

Pas tetap tegas dan teguh beristiqamah mengikut penyelesaian Islam daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W. walaupun banyak liku dan jauh perjalanannya,” ujarnya.

Beliau juga menasihati ahli-ahli Pas supaya jangan ikut menari bersama mereka yang memalu gendang dan meniup serunai lagu lama yang hanya mengubah senikata dan rentaknya sahaja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast