Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Mana-mana syarikat yang menganjurkan skim cepat kaya perlu dibuktikan bersalah terlebih dahulu sebelum kerajaan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak boleh membuat pendakwaan secara melulu meskipun salah laku itu dilaporkan oleh pihak tertentu.

“Apabila kita nak mengambil sesuatu tindakan, kita kena betul-betul pasti apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

“Kita tak boleh menuduh sesiapa, kita kena melakukan penyelidikan, kajian dan siasatan, bukan hanya KPDNKK tetapi dengan beberapa agensi lain seperti Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Hamzah mengulas syarikat skim piramid, MBI Group International yang diserbu penguat kuasa KPDNKK pada akhir Mei lalu yang masih tidak didakwa di mahkamah meski pun sebanyak 91 akaun bank dan dana RM177 juta telah dibekukan.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, semua akaun bank itu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Sementara itu, mengulas isu gajet fidget spinner di pasaran, Hamzah berkata semua item sama ada yang dibawa masuk dari luar negara mahupun tempatan perlu mendapatkan pengesahan daripada KPDNKK sebelum boleh dipasarkan.

“Saya nak cari penyelesaian supaya ia melalui standard yang akan kita lalukan bukan hanya satu dua item, tapi seluruh item yang dibawa masuk perlu mendapat pengesahan daripada jawatankuasa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast