Keadaan bangkai-bangkai pesawat MH17 yang bertaburan dan manjadi tumpuan orang ramai semasa tinjauan di lokasi tragedi MH17 terhempas di Ukraine. Krew MalaysiaGazette berada Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

AMSTERDAM – Suspek-suspek yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada tahun 2014 akan dibicarakan di mahkamah Belanda dan di bawah undang-undang negara itu.

Kementerian Luar Negaranya berkata, keputusan itu diambil susulan tindakan Rusia pada tahun 2015 untuk menubuhkan Mahkamah Antarabangsa bagi insiden yang mengorbankan 298 penumpang pesawat milik Malaysian Airlines.

Mangsa-mangsa itu terdiri daripada 17 negara termasuk 196 orang warga Belanda.

Lembaga Keselamatan Belanda yang menyiasat insiden itu membuat kesimpulan pada Oktober 2015 bahawa pesawat itu ditembusi peluru berpandu buatan Rusia.

Penyiasat berkata, peluru itu dari wilayah yang dikuasai oleh puak pemisah pro-Rusia.

Menteri Luar, Bert Koenders dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyiasat yang diketuai oleh Belanda, melibatkan Australia, Belgium, Malaysia, dan Ukraine akan berperanan semasa fasa pendakwaan.

Setakat ini tidak ada suspek yang dinamakan. – MalaysiaGazette