Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) hari ini menyokong pandangan banyak pihak dengan tidak bersetuju malah menolak cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pegawai perubatan kontrak.

Pengerusinya, Budiman Mohd. Zohdi meminta semua pihak agar kembali kepada sejarah dimana kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara jelas termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Maksud “bahasa kebangsaan” dalam konteks ini bermaksud bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara. Manakala “bahasa rasmi” ialah bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan harian negara.

“BM jelas dijadikan “bahasa rasmi” kerana ia memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan termasuklah fungsinya sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa mereka melaksanakan tugas-tugas rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarat lulus BM di peringkat SPM dilonggarkan bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM.

Kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti, dan beberapa kategori lain.

Disebabkan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan arahan supaya tidak akan berkompromi dengan prasyarat wajib lulus BM dalam SPM.

Ini kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan sebagai Bahasa Kebangsaan, jelas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast