KUALA LUMPUR – Syarikat produksi Saphire Screen Sdn. Bhd. menolak tunggakan pembayaran sebanyak RM27,000 yang didakwa oleh bekas pengurus produksinya, Raja Mohamad Mohd Ismail kerana terdapat keraguan terhadap tuntutan yang dibuat itu.
Penerbit syarikat itu, Hasniza Nordin berkata, dakwaan lain Raja Mohamad itu juga tidak benar kerana pembayaran sebagai pengurus produksi bagi drama Mr Boss Miss Stalker dan Mukhlis 2 sudah dilangsaikan.
Beliau menjelaskan, pembayaran untuk drama Biar Aku Jadi Penunggu pula hanya dibayar 60 peratus kerana kontrak Raja Mohamad telah ditamatkan berikutan terdapat perlanggaran terma kontrak.
“Dakwaan tunggakan pembayaran sebanyak RM27,000 itu melibatkan bayaran akhir sebanyak RM12,300 bagi drama Biar Aku Jadi Penunggu dan bakinya tuntutan elaun dan bil-bil.
“Namun pihak saya tidak dapat membayar bayaran akhir itu kerana Raja Mohamad telah melanggarkan kontrak dan kami hanya bersetuju membayarkan baki tuntutan sebanyak RM9,680 sahaja daripada jumlah RM14,700.
“Malahan saya juga telah menambah bayaran saguhati kepada sebanyak RM4,000 sebagai persediaan menyambut Hari Raya. Bagaimanapun kedua-dua bayaran itu enggan diterima oleh Raja Mohamad,” katanya.
Hasniza ditemui pada sidang media menjawab dakwaan Raja Mohamad itu di sini hari ini.
Turut hadir, peguam kepada syarikat produksi ini, Mohd Faiz Iskandar Hamzah dan Presiden Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd. Nor.
Pada 1 Jun lalu , Raja Mohamad menuntut Saphire Screen menyelesaikan tunggakan pembayaran sebanyak RM27,000 ketika dia berkhidmat sebagai pengurus produksi untuk tiga drama terbitan syarikat itu.
Raja Mohamad, 44, berkata, bayaran berkenaan adalah bagi drama Mr Boss Miss Stalker, Mukhlis dan Biar Aku Jadi Penunggu yang sudah pun ditayangkan.
Jumlah itu termasuk wangnya sendiri yang didakwa didahulukannya untuk beberapa urusan berkaitan penggambaran.
Hasniza berkata, pihaknya bersedia untuk menyelesaikan isu itu secara baik memandangkan bersimpati dengan nasib Raja Mohamad yang kini berdepan masalah kesihatan.
Beliau bagaimana berkata, pihaknya telah menerima surat peguam daripada Raja Mohamad yang menuntut bayaran RM27,000 pada 21 Jun lalu.
“Kami akan menjawab surat peguam beliau dan tetap menolak untuk membayarkan dengan tuntutan yang diminta itu.
“Kalau terpaksa ke mahkamah, kami akan mempertahakan hak kami dan perlu mendedahkan perlanggaran kontrak yang dilakukan oleh Raja Mohamad,” katanya.
Raja Mohammad kini tidak mampu lagi bekerja selepas disahkan menghidap kanser kulit tahap empat.
Berikutan itu, beliau perlu mendapatkan rawatan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan.
Raja Mohammad yang juga bapa tunggal kepada empat anak berusia 11 hingga 16 tahun berkata, dia amat memerlukan wang bagi menyara keluarga dan kos perubatannya. – MalaysiaGazette