AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo mengalu-alukan ‘minat’ Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bertanding di Parlimen Ampang pada PRU-14.
Ia berikutan khabar angin yang mengatakan bahawa Timbalan Presiden PKR itu mengintai kerusi di Ampang bagi menggantikan penyandang terkini, Zuraidah Kamaruddin atas beberapa faktor.
Antara faktor yang mendorong minat tersebut berikutan prestasi buruk Zuraidah sepanjang menjadi wakil rakyat Ampang selain kedudukan Azmin yang bakal tergugat sekiranya bertanding di Parlimen Gombak.
“Kita UMNO Ampang sentiasa bersedia untuk merampas kembali kerusi Ampang, siapa pun yang bertanding termasuk MB Selangor.
“Zuraidah pun orang tak berapa suka di sini (Ampang), eloklah tu kalau digantikan dengan Azmin,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Ismail, berikutan majoriti tipis yang dimenangi oleh Mohamed Azmin di Gombak pada dua penggal PRU lepas juga merupakan faktor utama kepada hasrat tersebut.
Justeru tambahnya, khabar angin yang tersebar tersebut tidak menjadi mustahil kerana kemenangan Azmin juga banyak bergantung daripada undi ahli PAS yang masih dalam pakatan pembangkang ketika itu.
“Dulu Azmin menang pun majoriti empat ribu lebih, itu pun semua tahu undi Pas yang banyak bantu.
“Azmin tau kot, kesan undi dari ahli Pas selepas tahaluf siyasi PAS-PKR terputus,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin menafikan bahawa akan bertanding di Parlimen Ampang pada PRU-14 akan datang.
Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen Gombak, beliau selesa untuk bertanding semula di kerusi yang sama.-MalaysiaGazette