PULAU PINANG – Tempoh sah guna MyKad sementara akan dikurangkan kepada hanya sebulan berbanding tiga bulan sebelum ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohd. Yazid Ramli berkata, selain bagi memastikan urusan membabitkan MyKad berjalan lancar, pengurangan tempoh itu juga bertujuan mengelak orang ramai melengah-lengahkan tuntutan MyKad yang sudah siap diproses.
Menurut beliau, orang ramai kini boleh menuntut MyKad mereka selepas lima hingga tujuh hari permohonan dibuat menerusi Projek Hab Percetakan Teragih Mykad (DPP).
Ujarnya, hab DPP dapat mencetak kira-kira 250 keping MyKad dalam masa sehari iaitu pengurangan tempoh menunggu sehingga 77 peratus disamping menjimatkan kos perkhidmatan pos laju, tenaga kerja dan pembangunan sistem.
“Kita dapati terdapat segelintir pemohon tidak menuntut MyKad mereka untuk tempoh lama sebaliknya terus menggunakan MyKad sementara meskipun telah tamat tempoh.
“Sedangkan selepas pengenalan DPP, tempoh siap MyKad kini sudah dipendekkan sekali gus tiada lagi alasan untuk pemohon melengah-lengahkan tuntutan MyKad mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hab DPP di Ibu Pejabat JPN negeri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, pihaknya juga mengingatkan pemohon yang tidak menuntut MyKad mereka yang sudah siap boleh didenda pada masa depan yang kadarnya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, jelasnya, JPN berjaya menumpaskan 162 kes penggunaan Mykad palsu di seluruh negara sepanjang tahun ini sehingga kelmarin melibatkan warga asing khususnya dari Indonesia, Thailand dan Filipina.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan di bawah kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh bulan sebelum dihantar ke negara masing-masing.
“Ciri fizikal MyKad palsu ini boleh dikesan dengan teknologi yang ada dan kita juga sentiasa meningkatkan ciri keselamatan bagi membanteras pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan MyKad khususnya yang didalangi sindiket ,” tegasnya.
Ketika ini, sebanyak 36 daripada 55 pejabat DPP yang diperkenalkan pada 2010 di seluruh negara dijadikan hab untuk mencetak MyKad yang dipohon menerusi 157 pejabat JPN. – MalaysiaGazette