Sidang media mengenai isu Cukai Pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) turut dihadiri penggiat pelancong di sini hari ini.

KUALA LUMPUR –  Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) menyifatkan pelaksanaan Cukai Pelancongan merupakan satu tindakan tepat bagi mempromosi sektor pelancongan di luar negara.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, cukai itu boleh dijadikan dana kepada kerajaan untuk menjalankan kempen secara proaktif bagi menarik lebih ramai pelancong luar ke Malaysia.

Jelas beliau, pertemuan pihaknya dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini telah mendapat gambaran yang jelas tentang objektif pelaksanaan cukai berkenaan.

“Menteri telah memaklumkan hasil cukai itu akan disalurkan kepada aktiviti promosi pelancongan serta pembangunan infrastruktur yang berkaitan dengan pelancongan.

“Beliau juga memberitahu negara-negara lain kini sedang aktif menjalankan kempen promosi dan Malaysia akan ketinggalan jika tidak melakukan promosi secara agresif,” katanya dalam sidang media mengenai isu Cukai Pelancongan anjuran MITA di sini hari ini.

Isu cukai pelancongan menjadi kontroversi apabila ada pihak yang meminta cukai tersebut hanya dikenakan kepada pelancong asing dan tidak melibatkan pelancong tempatan sejak kebelakangan ini.

Mohamed Nazri baru-baru ini bagaimanapun memaklumkan, pelaksanaan cukai pelancongan tetap dite­ruskan bermula 1 Julai lalu yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Isu itu juga menyebabkan beliau ‘perang mulut’ dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksanaan cukai pelancong di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu itu akan membawa kesan kepada industri pelancongan.

Dalam pada itu, Uzaidi memberitahu, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh MITA ke atas 450 penggiat pelancong, hanya segelintir responden memiliki tanggapan perniagaan mereka mungkin terjejas dan menerima pembatalan cukai berkenaan.

Beliau juga percaya Kementerian Pelancongan telah mempunyai pelbagai insentif tertentu dalam usaha meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Malaysia pada masa akan datang.

“Kementerian amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh seluruh  penggiat pelancong dan ahli MITA. Kami yakin bahawa satu penyelesaian terbaik akan diumumkan oleh menteri,” katanya. – MalaysiaGazette