KUALA LUMPUR – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan memperluaskan sesi persidangan Parlimen Mahasiswa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai akhir tahun ini.
Menurut Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, negeri yang mempunyai universiti seperti antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan Selangor akan menganjurkan program sesi persidangan ini.
Kata beliau, ia urutan daripada kejayaan membanggakan program Persidangan Parlimen Mahasiswa anjuran Mubarak dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Parlimen bermula tahun 2015.
“Kita mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menzahirkan kegembiraan dan kebanggaan dengan kejayaan program ini dari tahun 2015 dan tahun 2016.
“Tahun ini Sidang Parlimen Mahasiswa akan berlangsung selama empat hari bermula 14 Julai ini di Bangunan Parlimen,” katanya pada sidang media program Parlimen Mahasiswa 2017 di pejabat Mubarak di sini, hari ini.
Pada sesi persidangan kali ini sebanyak 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan enam IPTS akan menghantar peserta masing-masing.
Kata Abdul Aziz, setiap IPTA akan menghantar seramai 10 wakil iaitu lima daripadanya adalah dari Majlis Perwakilan Pelaja (MPP) dan lima lagi dipilih oleh pihak universiti berkenaan.
Bagi IPTS pula, kata beliau, juga menghantar seramai 10 peserta dari lima universiti terpilih dan mereka adalah pemimpin pelajar yang mewakili pelbagai persatuan.
“Tema persidangan kali ini ialah Dasar Kerajaan Mewujudkan Transformasi Nasional 2050 (TN 50) dan Negaraku.
“Persidangan ini bagi mewujudkan platform kepada mahasiswa sebagai generasi pemimpin pelapis masa hadapan agar lebih berdisiplin dan menghormati Perlembagaan Negara.
“Kita juga mahu mendedahkan kepada golongan ini dengan latihan berdebat sebagai satu medan untuk berbincang serta berbahas secara rasional, intelektual dan ilmiah mengenai pelbagai aspek,” ujar beliau.
Menurut Abdul Aziz lagi, mahasiswa yang terlibat dengan sesi persidangan itu akan berada pada situasi sebenar sebagaimana Ahli Parlimen dan Senator bersidang serta berdebat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Selepas ini, mungkin sebelum akhir tahun ini, kita mahu mahasiswa di universiti di setiap negeri akan berdebat di sidang DUN masing-masing.
“Saya akan pilih DUN Pahang sebagai permulaan kepada program Persidangan DUN Mahasiswa ini,” katanya. – MalaysiaGazette