Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Agensi-agensi pelancongan yang terikat dengan tempahan awal mengikut tempoh kontrak yang berakhir pada 1 Mac depan akan dikecualikan daripada cukai pelancongan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perkara itu sudah dimaklumkan di peringkat Kabinet seterusnya termasuk dalam Rang Undang-undang (RUU) Cukai Pelancongan yang dibentangkan April lalu.

“Itu semua kita sudah ambil kira masa pembentangan RUU Cukai Pelancongan 2017, ada peruntukan yang memberi pengecualian kepada mereka.

“Dan semasa perjumpaan dengan kumpulan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), isu tersebut dibangkitkan dan kita maklum mereka akan dikecualikan dan hanya akan dikenakan cukai bermula 1 April 2018, ” katanya pada sidang media petang tadi.

Terdahulu, MITA berkata,  kementerian bersetuju memberikan insentif kepada agensi pelancongan yang mempunyai tempahan awal dimana kontrak hanya akan berakhir pada 31 Mac 2018.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, cukai pelancongan yang mencetuskan kontroversi sebelum ini, berikutan sistem tersebut yang masih tidak lengkap sehingga terpaksa ditangguh pelaksanaan kepada 1 Ogos berbanding 1 Julai.

Kontroversi itu seterusnya berlarutan sehingga berlaku perang mulut antara Nazri dengan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.- MalaysiaGazette