PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada parti itu perlu `memanggil semula’ mendiang Karpal Singh semata-mata untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Ini kerana menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, ramai daripada perwakilan yang mengundi ketika pemilihan CEC itu pada 2013 tidak lagi berada bersama DAP selain ada yang meninggal dunia seperti mendiang Karpal Singh.
Situasi itu, kata beliau, menyebabkan arahan terbaharu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tersebut dilihat sebagai tidak masuk akal dan tidak logik.
“Perwakilan pada 2012 semuanya sudah berbeza hari ini, ada yang sudah meninggalkan parti dan ada yang sudah meninggal dunia seperti bekas Pengerusi, Karpal Sing.
“Adakah kita perlu `memanggil semula’ mendiang untuk mengundi?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kelmarin ROS mengarahkan DAP supaya mengadakan semula pemilihan CECnya kerana pemilihan kali kedua pada 29 September 2013 dianggap tidak sah disebabkan berlaku beberapa kepincangan.
Pada masa sama, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah mengesahkan DAP tidak dibatalkan pendaftarannya dan kekal sebagai parti politik yang sah.
Mengulas itu sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini pula menegaskan, DAP tidak boleh meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak mematuhi arahan ROS tersebut.
Ini kerana, kata Ahmad Zahid, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, watikah calon pilihan raya sesebuah parti politik perlu ditandatangani pegawai atau yang telah diberikan mandat oleh parti.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan sama ada ROS boleh memberi jaminan tidak akan mengarahkan pemilihan CEC sekali lagi sekiranya parti itu menjalankan pemilihan tahun ini seperti diarahkan.
“Ini memberi tanggapan bila kita dengar arahan ROS, buat (pemilihan) pun tidak betul, tidak buat pun tidak betul. Apa lagi jaminan undang-undang akan ditegakkan?” katanya. – MalaysiaGazette