Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan. Foto Nizam Zain

KUALA LUMPUR – UMNO tidak terkejut dengan U-turn terbaru Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pembangkang walaupun terpalit dengan hukuman penjara akibat jenayah liwat.

Bahkan, mantan Perdana Menteri yang mudah lupa itu kini sanggup menjilat kembali ludahnya apabila menyifatkan Lim Kit Siang dan DAP sebagai tidak rasis.

Sedangkan semua maklum, selama berpuluh-puluh tahun Dr. Mahathir menjaja dan menegaskan Kit Siang sebagai seorang anti Melayu, Islam dan DAP sebagai parti rasis.

Tetapi, kini beliau menarik kembali semua tuduhannya kerana kepentingan peribadi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, hakikatnya keputusan Dr. Mahathir menyokong Anwar bukan kerana kepentingan politik beliau, sebaliknya kepentingan peribadi.

“Terbukti beliau kini mula dilambung kebimbangan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung urusniaga matawang asing (Forex).

“Setelah segala usahanya untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui pelbagai helah gagal, Dr. Mahathir sedar beliau memerlukan talian hayat untuk menyelamatkan dirinya daripada RCI dan individu berkenaan semestinya Anwar dan Kit Siang.

“Oleh itu saya memohon pendirian keluarga Anwar apakah mereka sudah memaafkan segala dosa-dosa Dr, Mahathir yang kononnya selama ini menzalimi bekas Ketua Pembangkang itu dan apakah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sudah membersihkan Dr. Mahathir daripada segala tuduhan skandal selama ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Sohaimi turut menuntut pendirian pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada bersetuju dengan keputusan Dr. Mahathir menerima Anwar sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast