IMBAS KEMBALI..Kekecohan berlaku apabila Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi (berbaju putih) bertegas untuk membawa pulang sebuah kereta Proton Preve milik salah seorang wanita yang memajak keretanya dengan AGR Auto Trade Sdn. Bhd. di Serdang, Selangor pada 10 Julai lalu.

SERDANG – Setelah berbincang dan bertekak hampir dua jam, akhirnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berjaya menyelesaikan kemelut yang melanda hampir 500 mangsa yang teraniaya dengan skim pajakan kereta.

Melalui skim pajakan ini, orang ramai dijanjikan pendapatan pasif menerusi pembelian kereta baharu dan memajaknya kepada syarikat berkenaan dengan pembeli dibayar secara bulanan.

Bagaimanapun, setelah setahun, pihak syarikat mula ‘liat’ membayar kepada pembeli menyebabkan pembeli membuat aduan kepada PPIM sebelum ini setelah menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

PPIM yang diketuai Ketua Unit Tindakannya, Yusof Azmi dan kira-kira 200 mangsa mengambil keputusan mengunjungi pusat pameran AGR Auto Trade Sdn. Bhd. bertemu pemiliknya bagi mendapatkan semula kereta maasing-masing.

Yusof yang ditemui selepas perbincangan selama dua jam itu memberitahu: “Kami datang dengan mangsa, kita tidak lakukan sebarang kekecohan kerana kita datang untuk ambil balik milik mangsa kerana surat jualan dan pembelian adalah milik pembeli dan bukan milik syarikat AGR.

Bagaimanapun Yusof berkata, beliau dimaklumkan syarikat itu baharu sahaja bertukar tangan dua bulan lepas dan hanya mengambil alih sepenuhnya sejak 25 Jun lalu.

Melalui perbincangan itu, Yusof berpuas hati dengan jaminan dari syarikat terbabit untuk membantu mangsa.

“Kita dah bincang dengan pemilik baru, dia mungkin nak membantu. Datuk Sri sebelum ini langsung tak membantu, dia memang menipu. Kita harap dia kotakan janji,” tambah Yusof.

“Pihak AGR meminta masa sehingga dua bulan tapi kami dah tak ada tempoh sebab kereta tak bayar sehingga lima, enam bulan. Ada nama mangsa dah disenarai hitam bank. Kalau bertambah sehingga lapan bulan siapa nak bertanggungjawab?” jelasnya dalam sidang media.

Yusof menjelaskan, sebanyak 116 buah kereta daripada 1,500 buah kereta berjaya dikenalpasti dan dituntut mangsa di bilik pameran dan PPIM serta mangsa lain akan ke  Kajang untuk mengesan kereta mangsa yang masih belum dituntut.

Seorang kakitangan kerajaan, Jalilah Mohamad memberitahu, dia terlibat dalam skim itu setelah diyakinkan seorang jurujual di bangunan tempat dia bekerja.

Jalilah yang mula menyertai skim itu sejak March 2016 berkata, dia tidak menghadapi masalah pada awal penyertaannya dengan tawaran membeli kereta proton Saga berdasarkan kelayakan gajinya.

“Semasa membuat permohonan pinjaman, jurujual tersebut membuat beberapa permohonan dari bank. Namun hanya dua sahaja yang lulus dan saya disuruh untuk membeli dua kereta dari bank berbeza.

“Kereta pertama bulanan cuma RM475 dan kedua RM510 untuk bayaran bank. Namun pihak syarikat memberi saya RM900 sebulan bagi setiap kereta,” jelas Jalillah.

Namun masalah mula timbul sejak hujung tahun lalu apabila tiada sebarang pembayaran diterima dari syarikat dan mengakibatkan dia terpaksa membayar bulanan kereta yang tidak berada dengannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast